Friday, 1 May 2015

SEPULUH

Ada sepuluh perkara mengenai diri saya:

Satu - Apabila berjalan, saya suka pandang bawah. Ada kebaikannya. Contohnya, saya dapat mengelakkan diri daripada sebarang lubang, longkang atau gula-gula getah di tengah jalan. Namun begitu, saya sukar nampak siapa yang berjalan di sekeliling saya sebab saya selalu pandang bawah.

Dua - Saya rabun. Power cermin mata saya tinggi, dalam 400. Jadi, kalau saya tak pakai cermin mata, memang saya sukar melihat dengan jelas. Walaupun begitu, saya tak suka pakai cermin mata. Saya hanya menggunakan cermin mata apabila belajar atau ketika memesan makanan.

Tiga - Saya seorang yang lembap. Saya digelar lampi (lambat pickup) ketika di tingkatan 4. Malah, emak saya turut mengatakan bahawa saya seorang yang lembap. Saya mengambil masa yang lama untuk membuat keputusan contohnya, ketika memilih baju untuk dipakai atau memilih jam untuk dibeli. Ketika seseorang memberikan arahan kepada saya, saya sering terpaku seketika untuk memikirkan dengan jelas tentang arahan tersebut. Saya juga mengambil masa yang agak lama untuk memahami sesuatu soalan.


Empat - Saya suka tidur. Dengan tidur, saya dapat merehatkan badan dan minda serta dapat mengelakkan diri daripada kerja yang memenatkan lagi membosankan.

Lima - Saya tak makan makanan laut. Saya tak pasti sejak bila saya tidak boleh makan makanan laut. Saya tiada alergi terhadap makanan laut cuma saya tak boleh nak telan makanan laut terutamanya udang. Saya akui saya agak tertarik melihat udang besar apatah lagi apabila mendengar orang lain memuji kesedapan udang tetapi saya tetap tak boleh telan udang.

Enam - Malu sebenarnya nak beritahu yang saya tak pandai masak.

Tujuh - Saya suka makan makanan barat terutamanya kentang goreng.

Lapan - Saya takut dengan binatang. Saya takut nak sentuh binatang macam kucing, arnab atau burung. Namun begitu, saya tidak menjerit apabila ada binatang mendekati saya cuma saya berasa risau sekiranya binatang itu mengancam saya.

Sembilan - Hanya saya sahaja seorang perempuan dalam adik-beradik saya. Walaupun begitu, saya tak kasar.


Sepuluh - Saya suka bunga matahari.

No comments:

Post a Comment